Nurul Hidayah Bahaudin

Kota Samarahan: "Saya anak tempatan Sarawak dan itu lebih luas ertinya daripada sekadar mewakili kampung tertentu," kata Datuk Idris Buang, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang.

Idris berkata, beliau menyedari wujud sentimen anak tempatan yang dimainkan calon lain untuk 'memancing' undi di kawasan berkenaan.

"Jika cuma fikir menjadi wakil rakyat dengan sekadar mewakili satu-satu kampung, itu adalah hanya untuk menjadi 'juara kampung' sekali gus mengehadkan perjuangan sebagai wakil rakyat.

"Saya sebagai anak jati Sarawak memegang amanah arwah Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) dan Abang Johari (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) untuk mewakili rakyat di kawasan Muara Tuang serta mempertahankan kerusi ini bukan untuk saya tetapi untuk Sarawak," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, beliau mempunyai beberapa visi dan misi untuk dijayakan di kawasan berkenaan sekiranya dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang.

"Ada beberapa visi dan misi yang saya akan ketengahkan nanti sebagai wakil rakyat di kawasan ini termasuk memperkasakan projek Rumah Spektra Permata (rumah mampu milik) kepada anak muda di kawasan ini.

"Kebanyakan anak muda di kawasan ini mungkin tidak mempunyai pekerjaan tetap atau menjalankan pertanian dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000.

IDRIS Buang. FOTO Aizuddin Saad
IDRIS Buang. FOTO Aizuddin Saad

"Justeru itu, anak muda perlu diberi keutamaan untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan terbabit," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bertekad mahu menyelesaikan isu geran tanah bagi penduduk kampung yang belum mempunyai geran.

"Ada tanah di kampung tertentu belum mempunyai geran kerana mungkin berdepan kesulitan atau perbalahan yang menyebabkan masalah itu sukar diselesaikan.

"Disebabkan itu, saya bertekad untuk mengatasi permasalahan ini secara konsisten dengan melakukan kerja penyukatan bagi membolehkan mereka mendapat geran tanah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kawasan Muara Tuang dilihat mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk anak muda berikutan pembangunan pesat dari segi infrastruktur serta perhubungan dari Kuching ke Kota Samarahan hingga ke Serian.

"Apabila laluan dari Kuching ke Kota Samarahan hingga ke Serian sudah semakin baik, ia menjadikan kawasan ini semakin membangun dengan perkembangan pelbagai sektor.

"Perkembangan ini sekali gus membolehkan anak muda di kawasan Muara Tuang mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan di Kota Samarahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:05 PM