Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kebenaran merentas negeri sejak 11 Oktober lalu membuatkan hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan kadar pengisian katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

Menurutnya, tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

"Dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan, didapati bilangan pesakit dalam kalangan kumpulan umur 40 tahun ke atas dan juga kumpulan warga emas (60 tahun dan ke atas) menunjukkan peningkatan.

"Ini mungkin disebabkan faktor tahap antibodi terhadap Covid-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap. Situasi ini juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Khairy berkata, golongan warga emas dan golongan 40 sehingga 59 tahun terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini.

"Oleh itu, tahap antibodi mereka terhadap Covid-19 menurun lebih awal. Justeru, bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan Covid-19 kekal optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan pemberian dos penggalak (booster) dan sehingga 25 November, sebanyak 1,823,474 dos penggalak diberikan.

"Saya juga ingin memaklumkan terdapat empat kluster yang dilaporkan berpunca daripada aktiviti sosial bagi tempoh dari 11 Oktober lalu hingga semalam iaitu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 5:53 PM