Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: "Malam tadi saya dan isteri terpaksa tidur dalam kereta kerana rumah kami yang dilanda banjir lumpur masih belum selesai dicuci," kata Hassan Mohd Sharif, 56, penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, di sini.

Hassan berkata, dia baru selesai membuang lumpur di ruang tamu, sementara empat bilik tidur dan dapur masih dipenuhi lumpur dan belum dicuci lagi.

Menurutnya, hampir semua barangan di dalam rumahnya rosak termasuk barangan elektrik yang tidak sempat diselamatkan akibat ditenggelami air.

"Air naik di rumah saya sedalam paras dada di mana ini adalah kali kedua banjir besar seperti ini melanda kampung ini di mana kali pertama dahulu berlaku sekitar 2007.

"Saya menetap di kampung ini sejak kecil dan sepanjang tempoh itu empat kali kampung ini dilanda banjir kilat, namun banjir besar seperti ini hanya berlaku dua kali," katanya ketika ditemui sedang membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur hari ini.

Katanya, berikutan belum selesai membersihkan rumah, seorang anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) ditempatkan sementara di rumah adiknya.

Sementara itu, mangsa banjir, Izzati Zaaid, 36, berkata ketika kejadian dia dan suami berada di rumah bersama anak-anak sebelum tiba-tiba air naik secara mendadak.

"Pada mulanya hujan sudah berhenti dan saya sangka tidak akan berlaku banjir, namun tidak lama kemudian tiba-tiba air naik secara mendadak sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk buku dan pakaian sekolah anak.

"Pada masa sama, mujur kami sempat menyelamatkan nenek saya yang tinggal bersendirian di rumah berasingan tidak jauh dari rumah kami," katanya.

Katanya, dia sekeluarga boleh diibaratkan tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangan di dalam rumah tidak sempat diselamatkan dan rosak.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata, pihaknya bergotong-royong untuk membersihkan lumpur di kampung terbabit.

"Kita melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit sejak malam tadi dan turut menyediakan pusat pemindahan sementara di Dewan MPAJ, di sini.

"Sebanyak 15 keluarga daripada 127 rumah yang dilanda banjir kilat dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Pinggiran 3, Lembah Jaya; Dewan MPAJ Lembah Jaya dan Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah," katanya.

Katanya, seramai 100 anggota menyertai gotong-royong itu membabitkan MPAJ, KDEB, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 2:44 PM
Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56, mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Penduduk Kampung Lembah Jaya Utara, Hassan Mohd Sharif, 56, mencuci barangan rumahnya yang diselaputi lumpur selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi