PROF Ts Dr Norazah Abd Rahman (kiri) dan Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah. FOTO ihsan UiTM
PROF Ts Dr Norazah Abd Rahman (kiri) dan Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah. FOTO ihsan UiTM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima pelantikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) yang baharu berkuat kuasa semalam.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, Prof Ts Dr Norazah Abd Rahman, 55, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) menggantikan Prof Ts Dr Mohd Nazip Suratman.

Manakala Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah, 58, pula dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) bagi menggantikan Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad yang tamat tempoh pelantikannya pada 14 November lalu.

Menurut kenyataan itu, Norazah mempunyai latar belakang Kejuruteraan Kimia dan sudah berkhidmat bersama UiTM selama 31 tahun serta mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyelidikan serta mengetuai dan memperoleh pelbagai geran penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Beliau juga turut aktif dalam keahlian badan-badan profesional seperti Energy Institute UK, Institute of Chemical Engineering (IChemE) UK, Graduate Engineer, Board of Engineer Malaysia, Graduate Engineer, The Institution of Engineers Malaysia, Malaysian Non Destructive Testing Society dan Instrumentation And Control Society Of Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, Mohamad Hariri pula adalah seorang pakar yang berpengalaman dalam bidang reka bentuk di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka yang sudah 30 tahun berkhidmat di UiTM.

Menurutnya, selain mempunyai keahlian profesional termasuklah Presiden PEREKA, Pengerusi Certified Industrial Designer MRM MITI, Mohamad Hariri juga memegang jawatan-jawatan penting di pelbagai peringkat.

"Kepakaran dan pengalaman beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa diiktiraf apabila beliau pernah dilantik sebagai General Manager oleh MRM, MITI dan Design Manager oleh Nomad Automotion UK.

"UiTM mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas kedua-dua pelantikan ini. Semoga ia dapat membantu pihak universiti dalam meningkatkan dan memperkasa agenda penyelidikan, inovasi, melebar luas jaringan industri, komuniti dan alumni sejajar dengan hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM2025.

"UiTM juga mengucapkan terima kasih kepada mantan Timbalan Naib Canselor atas khidmat dan kepimpinan sepanjang menyandang jawatan terbabit," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 11:41 AM