ORANG awam membuang undi di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal. FOTO Syafeeq Ahmad
ORANG awam membuang undi di Pusat Mengundi SK Durian Tunggal. FOTO Syafeeq Ahmad
Arfa Yunus


Melaka: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara, di sini, berpuas hati dengan proses pengundian pagi ini.

Pegawai Pemandu Arah Pusat Mengundi Hairulnizam Ismail berkata, sehingga jam 10 pagi tadi, proses pengundian berjalan lancar dan teratur.

"Setakat ini semua pengundi yang tiba mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, tiada seorang pun yang berdegil.

"Kita menjangkakan lebih ramai pengundi akan tiba pada waktu puncak biasa, iaitu antara 11 pagi hingga 2 petang.

"Pagi ini, kebanyakan pengundi yang datang terdiri warga emas. Kemungkinan besar pada 4 atau 5 petang ini jumlahnya (pengundi) semakin sedikit ke sini (pusat mengundi)," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi petugas SPR yang ditempatkan di khemah khas pengundi bergejala Covid-19 berkata, setakat ini tiada pengundi diarahkan ke khemah berkenaan.

Katanya, petugas di kem itu sentiasa bersiap sedia sepanjang hari pengundian yang berakhir pada 5.30 petang.

"Proses akan bermula dengan pemeriksaan suhu. Jika pengundi merekodkan suhu tinggi atau menunjukkan sebarang gejala, dia akan diarahkan ke khemah ini.

"Kemudiannya, ketua pusat mengundi akan membawa sampul surat mengandungi kertas undi untuk pengundi itu, sebelum pengundi memilih calon pilihan. Ketua pusat mengundi akan memastikan kertas undi itu diletakkan di tempat yang betul," katanya.

Tinjauan mendapati, semua pengundi yang tiba di pusat pengundian mematuhi SOP ditetapkan oleh SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 11:18 AM