BUTTERWORTH 17 NOVEMBER 2021. Gambar fail pesawat tempur Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth di sini. NSTP/DANIAL SAAD
BUTTERWORTH 17 NOVEMBER 2021. Gambar fail pesawat tempur Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth di sini. NSTP/DANIAL SAAD
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pesawat yang sudah melangkau lebih 25 tahun masih boleh diguna pakai jika penyelenggaraannya mengikut jadual yang ditetapkan oleh Pengilang Peralatan Asal (OEM).

Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari Dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT),

Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, OEM biasanya akan melakukan analisis berterusan dan memberi nasihat kepada pelanggan akan jangka hayat sebuah pesawat.

Menurutnya, jika ingin menambah tempoh penggunaan pesawat, lazimnya pelanggan akan berbincang dengan OEM.

Katanya, kedua-dua pihak akan menilai data penggunaan pesawat dari segi kehausan, corak penerbangan, kekerapan penerbangan, jadual penyelenggaraan, dan sebagainya untuk membuat keputusan untuk menambahkan hayat pesawat.

Mengulas mengenai pesawat yang lebih 25 tahun sama ada perlu diganti atau tidak, Mohd Harridon berkata, ia bergantung kepada 'risk appetite' yang dikehendaki yang mana perlu ada keseimbangan dalam pertahanan negara dan penggunaan teknologi terkini.

"Jika kita menjurus kepada polisi pertahanan yang komprehensif, mungkin aplikasi penggunaan teknologi terkini adalah solusinya yang mana pembelian pesawat baru dapat memberi kita teknologi penerbangan terkini.

"Harus diingat pesawat yang berusia 25 tahun masih boleh lagi digunakan jika penyelenggaraannya adalah optimum dan mengikut syarat 'predictive maintenance'," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, di Jepun contohnya, tentera mereka masih menggunakan pesawat pejuang F-4 Phantom yang dikeluarkan pada tahun 1960an.

"Ini adalah kerana pesawat itu masih berada pada tahap yang baik disebabkan ia diselenggara dengan optimumnya.

"Mengenai pesawat Hawk pula lazimnya dilengkapi dengan G meter yang merekodkan daya G pesawat itu dan analisa data dari G meter itu membolehkan kita sedikit sebanyak merungkai daya yang dialami pesawat itu sepanjang penerbangan bagi kita memetakan corak penerbangan.

"Ini membolehkan kita mendapatkan gambaran yang sebenar akan kejadian yang berlaku itu (pesawat terhempas)," katanya.

Katanya, ada kemungkinan perlu membuat analisa yang mendalam terhadap data pesawat Hawk itu dan sejarah kemalangan pesawat itu supaya dapat mencari pola atau corak pesawat itu supaya 'kecelaruannya' dapat dirungkaikan.

Dalam kejadian jam 10.07 malam tadi, seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.

Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Sebelum kejadian, kedua-dua juruterbang berkenaan dikatakan sedang melakukan latihan penerbangan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 4:54 PM