PESAWAT pejuang Hawk 108 milik TUDM yang terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Bernama
PESAWAT pejuang Hawk 108 milik TUDM yang terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth. FOTO Bernama
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mengendalikan pesawat pejuang Hawk 108 sempat keluar dari pesawat berkenaan menggunakan kerusi anjal sebelum salah seorang daripada mereka terkorban dalam nahas berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pesawat yang dikendalikan dua juruterbang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Butterworth, di sini bagi menjalani latihan penerbangan malam.

"Ia dilakukan di ruang udara Pangkalan Udara Butterworth dan sesi latihan berlangsung selama satu jam sebelum dilaporkan terhempas dan menyebabkan letupan.

"Kedua-dua juruterbang itu sempat keluar daripada pesawat menggunakan kerusi anjal dan salah seorang meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera," katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shuhaily ditemui media ketika Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, dekat sini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Datuk Ramli Din.

Mohd Shuhaily berkata, segala siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan kini dibuat sepenuhnya oleh pihak TUDM.

"Laporan bedah siasat mendapati punca kematian juruterbang itu adalah disebabkan pelbagai kecederaan dialami ekoran kemalangan udara.

"Justeru, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, polis belum mengambil keterangan juruterbang yang terselamat memandangkan dia masih menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian jam 10.07 malam kelmarin, pesawat Hawk milik TUDM dilaporkan terhempas ketika dua juruterbangnya mengadakan sesi latihan penerbangan.

Insiden menyebabkan Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, maut manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Jenazah Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Pahang.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, polis sentiasa menekankan infrastruktur balai sebagai tempat kerja anggota dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Bagaimanapun bajet yang ada diberikan keutamaan kepada mana yang lebih mendesak untuk dinaiktaraf dengan mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 12:26 PM