Sulaiman.
Sulaiman.
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Tiada istilah calon Ketua Menteri Melaka sementara bagi Barisan Nasional (BN) dan pemilihan Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menerajui kerajaan negeri, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah bersandarkan mandat rakyat.

Pengarah Pilihan Raya BN yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, fokus parti itu kini adalah untuk menstabilkan kembali kerajaan negeri.

"Mana ada ketua menteri sementara? Ini bukan cerita main-main. Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal. Jika diberi mandat rakyat kepada BN untuk mentadbir Melaka, kita sudah tetapkan Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka sehingga habis penggal.

"Tiada isu pula orang nak main-mainkan kata sementara sebab kita nak menstabilkan kerajaan negeri. Apabila sudah ada kestabilan itu, seorang Ketua Menteri yang juga pentadbir yang mantap dan didokong oleh parti serta disokong oleh rakyat, maka dia perlu menumpukan sepenuh tumpuannya untuk meneruskan dan memakmurkan negeri," katanya dalam satu video disiarkan oleh Facebook (FB) rasmi BN.

Penamaan Sulaiman sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka sekiranya BN menang PRN terus dijadikan isu pihak tertentu termasuk calon pembangkang, dengan mengaitkan kononnya akan ada individu lain bakal menggantikan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu itu kelak.

Justeru itu, beliau meminta pengundi di Melaka tidak terpedaya dengan fitnah pihak tertentu yang dilihat sengaja memutarbelitkan fakta untuk mengelirukan semua pihak.

"Saya harap rakyat Melaka tidak lagi termakan fitnah yang nak memutarbelitkan fakta dan nak melemahkan BN.

"Jadi, jangan dengar. Kepada pengundi dan rakyat Melaka, BN sudah memutuskan calon kita Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang akan kita lantik dan yang akan menguruskan negeri untuk jangka masa satu penggal lima tahun yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 8:27 AM