FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jangkitan kolera atau taun boleh dielakkan sekiranya masyarakat mengutamakan aspek kebersihan sebelum makan atau membeli makanan di kedai makan, restoran mahupun gerai.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, taun kebiasaannya berlaku di lokasi kecemasan seperti tempat yang dilanda banjir atau kawasan perang, namun ia mungkin berpunca dari air sekiranya berlaku di bandar.

"Justeru, apa yang perlu dilakukan apabila mahu makan di sesebuah kedai makan atau gerai, kita tengok adakah ia selamat dari segi kebersihan.

"Ia termasuk adakah mereka melakukan proses pengendalian makanan dengan cara yang betul serta adakah mereka ada suntikan tifoid?

"Kita bukan mahu memboikot peniaga makanan tetapi sebagai pengguna, perlu membuat keputusan yang bijak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, peranan pengendali makanan pula adalah memastikan makanan yang disediakan mengikut piawaian.

Katanya, bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, penyediaan laman sesawang atau infografik yang boleh memberi maklumat jelas mengenai cara pencegahan wabak taun mungkin perlu disediakan.

Katanya, jangkitan taun juga boleh berlaku di rumah apabila bahan mentah tidak dibersihkan dengan sempurna serta cara masakan yang tidak betul.

"Justeru, kita kena pastikan air dan makanan mentah dibersihkan dengan betul, tidak boleh dibiarkan di luar begitu saja kerana selain kolera, kita bimbang akan ada salmonella juga.

"Makanan juga perlu dimasak sempurna supaya tiada kuman lain dalam makanan berkenaan," katanya.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan terdapat satu kes taun membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 56 tahun dilaporkan di daerah Petaling pada 21 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:41 PM