IDRIS (tengah) di Surau Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara. FOTO ihsan JAWI.
IDRIS (tengah) di Surau Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara. FOTO ihsan JAWI.
SamadiAhmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengaktifkan semula Program Dapur It'am 6.0 dengan peruntukan RM10.7 juta disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bermula hari ini sehingga 6 Mac tahun depan.

Program ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 8,400 orang setiap hari, manakala jumlah keseluruhan penerima sepanjang program dijangkakan 1.3 juta orang.

JAWI menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Program Dapur It'am 6.0 adalah inisiatif di bawah Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 (PIAGAM C-19) membabitkan 70 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, Dapur It'am adalah program berkonsepkan 'soup kitchen' yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan percuma setiap hari kepada golongan yang memerlukan.

Program ini menyasarkan sifar lapar ketika tempoh pandemik Covid-19 dan masakan tengah hari akan disediakan petugas masjid dan surau secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta diedarkan kepada golongan sasaran.

Antara kumpulan penerima terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam, B40, asnaf dan petugas barisan hadapan.

Proses agihan makanan tengah hari ini akan dilaksanakan setiap hari bermula Isnin hingga Ahad berdasarkan prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan.

Pelancaran program Program Dapur It'am 6.0 ini disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad di Surau Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:51 PM