TUMINAH Kadi. FOTO Hassan Omar
TUMINAH Kadi. FOTO Hassan Omar
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, menetapkan misinya jika dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu untuk menubuhkan sebuah pusat kawal selia bagi mengusmpul serta menjual hasil perikanan di Pantai Puteri.

Mesra dengan panggilan Kak Ina, 54, yang sudah menetap di kawasan itu sejak 24 tahun lalu, yakin hasil perikanan yang terdapat di kawasan terbabit berpotensi untuk dikomersilkan, sekali gus menjadi projek ekonomi baharu bagi penduduk setempat.

"Di Pantai Puteri ini, banyak hasil perikanannya. Kita boleh wujudkan satu pusat sehenti untuk memanfaat dan meningkatkan ekonomi anak setempat di Dun Pantai Kundor, terutama dari hasil lautnya.

"Sebab hasil bumi di Pantai Puteri ini adalah hasil laut, jadi kita kena ambil kesempatan untuk menubuhkan pusat sehenti atau 'one stop centre' dan mana-mana pelancong yang masuk ke Melaka boleh singgah di sini untuk membeli barang keperluan dan hasil daripada anak tempatan," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, menerusi cara itu kawasan berkenaan akan terus menjadi lokasi tumpuan pelancong baik tempatan mahupun luar negara, sekali gus berupaya meningkatkan ekonomi warga Dun Pantai Kundor.

Selain itu, Tuminah turut memberi fokus kepada usaha menaik taraf infrastruktur nelayan disebabkan kawasan terbabit juga sering berdepan hakisan pantai.

"Di sini, nelayan juga berdepan dengan masalah hakisan pantai yang disebabkan oleh pukulan ombak kuat. Ini antara keluhan yang saya kerap terima terutama daripada nelayan setempat sehingga menjejaskan pendapatan sara hidup mereka," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ibu kepada lima anak itu akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Ridzwan Mustafa serta penyandang Dun yang kini bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) Datuk Nor Azman Hassan.

Nor Azman yang bertanding atas tiket BN pada pilihan raya lalu menang dengan majoriti 772 undi.

Dun Pantai Kundur kini memiliki 15,469 pengundi keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 4:24 PM