Ahmad Fadhli (tengah) bersama barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS setelah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) baharu bagi penggal 2021-2023. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Ahmad Fadhli (tengah) bersama barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS setelah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) baharu bagi penggal 2021-2023. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai Ketua Pemuda Pas baharu bagi sesi 2021-2023.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pada muktamar yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seramai 636 daripada 708 perwakilan parti yang mengundi pada muktamar itu.

Ahmad Fadhli yang sebelum ini Timbalan Ketua Pemuda menang dengan majoriti 508 undi daripada 636 undi perwakilan menewaskan pencabarnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah Khalil Yahya yang memperoleh 128 undi.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang dahulunya Naib Ketua Pemuda dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah menewaskan pencabarnya Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Farkhan Md Zain dengan 489 undi.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda disandang Hanapi Zulkafli yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Selangor menggantikan Afnan Hamimi yang dahulunya memegang jawatan itu dengan 473 undi.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berterima kasih kepada semua perwakilan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui sayap kepimpinan pemuda khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

"Ini membuktikan pemilihan parti boleh dilaksanakan walaupun kita berdepan pilihan raya.

"Ia juga sekali gus membuktikan Pas adalah parti yang matang dan tak terpengaruh dengan apa juga isu atau kepentingan, walaupun ketika ini kita berdepan pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:27 PM