Siti Rohana Idris


Tumpat: Kumpulan isi rumah M40 masih mendapat bantuan lain walaupun ramai menganggap golongan itu kurang menerima peruntukan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan tidak mampu untuk menyediakan semua peruntukan meskipun menyedari ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kita tidak mampu penuhi semua peruntukan kerana yang penting M40 pun dapat juga bantuan lain seperti perumahan, bantuan pinjaman dan lain-lain.

"Kita sedar M40 pun terjejas dengan pandemik Covid-19, tapi kita yakin keadaan mulai pulih dan semua sektor sudah beroperasi semula," katanya ketika.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan Warisan (pakej 1: Laman Warisan Serunding), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mustapa berkata, pembentangan Bajet 2022 membuktikan kerajaan mengotakan janji apabila menyediakan peruntukan sebanyak 52.6 peratus daripada peruntukan keseluruhan kepada enam negeri yang kurang maju bagi tujuan pembangunan asas.

Menurutnya, Kelantan menerima RM2.33 bilion yang dilihat antara negeri yang menerima peruntukan paling tinggi.

"Selain Kelantan, lima lagi negeri iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu, Kedah dan Perlis turut bakal menikmati pembangunan asas melalui peruntukan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 3:18 PM
Mustapa Mohamed  ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan di Laman Warisan Serunding, Kampung Laut. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mustapa Mohamed ketika hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Pelancongan di Laman Warisan Serunding, Kampung Laut. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR