Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin ( dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke kuarters guru SMK Palong Tujuh. FOTO ABNOR HAMIZAM
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin ( dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke kuarters guru SMK Palong Tujuh. FOTO ABNOR HAMIZAM
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Jangan salahkan kementerian sekiranya guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dikenakan tindakan disiplin, itu peringatan Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.

Mohamad berkata, setakat ini, ada kira-kira 2,000 guru di seluruh negara masih belum berbuat demikian.

"Saya merayu dan berharap kepada mereka (guru) untuk segera tampil bagi menerima suntikan vaksin.

"Mereka ada masa sehingga 1 November ini untuk berbuat demikian dan ia selaras dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mereka kembali mengajar ke sekolah," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah ini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Palong Mustapa Nagoor.

Katanya, Kementerian Pendidikan tidak mahu ibu bapa hilang kepercayaan dan keyakinan untuk menghantar anak ke sekolah berikutan tindakan guru yang enggan divaksin.

"Guru mempunyai tanggungjawab yang besar, Justeru, mereka perlu memastikan ibu bapa yakin tentang keselamatan anak-anak mereka di sekolah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, beliau mahu semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negara ini memainkan peranan selain lebih peka dan proaktif terhadap permasalahan berkaitan sekolah termasuk kuarters guru.

"Ini berikutan terdapat kuarters guru yang begitu daif dan tidak sesuai untuk didiami oleh guru-guru.

"Terutama sekali dalam aspek kebersihan dan keselamatan. Kita tidak mahu perkara itu terus berlarutan. PPD perlu segera mengangkat permasalahan yang ada untuk dipertimbangkan kelulusan di peringkat kementerian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 5:30 PM