Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi (kanan) melakukan pemantauan SOP di Teluk Batik, Lumut. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi (kanan) melakukan pemantauan SOP di Teluk Batik, Lumut. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Polis menjangkakan peningkatan dua kali ganda jumlah kemasukan pelancong ke beberapa lokasi peranginan di Manjung terutama di Pulau Pangkor, pada minggu hadapan susulan cuti am dan hujung minggu.

Cuti Deepavali pada 4 November disusuli cuti hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada 5 November diikuti cuti hujung minggu, Sabtu dan Ahad.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kebiasaannya pada hujung minggu biasa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kira-kira 20,000 orang melancong ke daerah itu.

"Susulan cuti umum dan hujung minggu nanti, kita menjangkakan kemasukan ramai pengunjung ke Pulau Pangkor, Teluk Senangin dan Teluk Batik.

"Kita menjangkakan kemasukan pengunjung akan meningkat dua kali ganda. Ia boleh menjangkau 20,000 pengunjung (untuk cuti hujung minggu)," katanya ketika ditemui.

Katanya, pihaknya tidak akan berkrompomi dalam memastikan pengunjung terus mematuhi prosuder operasi standard (SOP) dan kawalan pemantauan di semua lokasi tumpuan sekali gus mengekang sebarang kegiatan jenayah atau insiden luar jangkaan.

"Ketua Polis Balai Pangkor akan meningkatkan kawalan di pulau peranginan berkenaan dan kita juga mengerakkan pasukan pematuhan SOP bagi memastikan pematuhan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak berkata, perkhidmatan feri ke pulau peranginan berkenaan menyediakan sembilan perjalanan di di Jeti Lumut dan Jeti Marina Island bermula 19 Oktober lalu berbanding enam trip sebelum ini.

Katanya, mereka juga akan memohon kepada Jabatan Laut Malaysia untuk menambahkan perjalanan.

"Hujung minggu sebelum ini merekodkan kemasukan 3,000 pengunjung sehari, jadi untuk cuti minggu hadapan kita jangkakan peningkatan dua kali ganda di kedua-dua jeti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 11:19 AM