Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menunggu laporan penuh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berhubung empat negeri termasuk Johor yang dikenal pasti dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram, sebelum mengambil tindakan susulan.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, laporan penuh itu penting bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dan menyeluruh dilakukan termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kawasan berkenaan.

"JAS Johor masih tunggu laporan daripada MYSA mengenai tapak yang dijadikan tempat buangan sisa toksik haram di negeri ini.

"Buat masa ini kami belum dapat laporan daripada MYSA. Ibu pejabat JAS di Putrajaya juga sedang menunggu laporan daripada agensi itu.

"Sekiranya laporan sudah diperoleh, JAS Johor akan terus memulakan siasatan secara terperinci di kawasan yang didakwa," katanya pada sidang media selepas meninjau Operasi Sepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Skudai arah Selatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Selangor, Johor, Pahang dan Perak dilaporkan dikenal pasti antara negeri yang mempunyai banyak kawasan dijadikan tempat pembuangan sisa toksik secara haram di negara ini.

Ia berdasarkan cerapan imej menggunakan satelit secara berkala yang dijalankan MYSA di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) susulan tragedi Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, yang tercemar dengan sisa kimia, berbahaya, tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah dilaporkan berkata sebahagian data cerapan berhubung pelupusan sisa toksik itu telah dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri terbabit untuk penelitian dan tindakan seterusnya.

Ditanya sama ada JAS Johor ada menggunakan cerapan imej satelit untuk mengenal pasti kawasan pembuangan sisa toksik haram di negeri ini, Mohd Famey berkata, pihaknya tiada akses terhadap imej satelit sebegitu.

"JAS Johor tiada akses terhadap penggunaan imej satelit bagi mengenal pasti kawasan pembuangan sisa toksik haram.

"Namun kita menggunakan dron bagi membuat pemantauan dan risikan terhadap kawasan pencemaran termasuk tapak pembuangan sisa toksik haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 12:44 PM