Luahkan masalah, dapatkan sokongan dan bantuan berkaitan kesihatan mental bagi mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik - FOTO Hiasan
Luahkan masalah, dapatkan sokongan dan bantuan berkaitan kesihatan mental bagi mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik - FOTO Hiasan
Nur Amirah Abd Rani

PANDEMIK Covid-19 memberi kesan yang amat besar kepada kesejahteraan mental setiap lapisan masyarakat dunia, termasuk Malaysia.

Ancaman kesihatan, kehilangan orang tersayang, kehilangan punca pendapatan, kehilangan

tempat bergantung, limitasi aktiviti luar, isolasi sosial, perselisihan dalam keluarga dan masalah rumah tangga antara faktor-faktor utama pencetus masalah kesihatan mental.

Mengambil berat situasi ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan Kempen Media Let's TALK Minda Sihat yang dilaksanakan selaras dengan Pelan Publisiti Kesihatan Mental di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS). 

Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.

Kempen media Let's TALK Minda Sihat merupakan salah satu usaha KKM untuk menggalakkan masyarakat agar lebih terbuka dan tampil berkongsi masalah dengan orang yang mereka percayai, serta mendapatkan bantuan profesional sekiranya perlu untuk mencapai kesejahteraan mental yang lebih baik.

Melalui kempen ini, diharapkan agar masyarakat yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan lebih prihatin dan memberikan sokongan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pada kebiasaannya, individu yang mengalami masalah kesihatan mental sukar untuk meluahkan perasaan atau berkongsi masalah mereka. Segan dan takut dihakimi, golongan ini lebih cenderung untuk memendam perasaan dan semakin mengasingkan diri dan berasa keseorangan. Situasi ini akan menjejaskan kesejahteraan mental.

Akronim TALK dalam kempen media Let's TALK Minda Sihat ini membawa maksud

T: Tell your problem to someone you trust/ Kongsi masalah dengan orang yang dipercayai

A: Ask for help/ Minta bantuan

L: Listen without judgement/ Dengar tanpa menghakimi

K: Know where to seek help/ Tahu di mana untuk dapatkan bantuan

Image

Apabila golongan yang mengalami masalah tampil berkongsi masalah, meluahkan perasaan dan meminta bantuan, adalah penting untuk golongan pemberi sokongan untuk mendengar dengan penuh empati tanpa sebarang penghakiman, serta bantu untuk mendapatkan khidmat nasihat profesional sekiranya mereka perlu. 

Kempen ini dilancarkan oleh YB Menteri Kesihatan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2021) bersama Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020 – 2025) secara maya melalui Facebook rasmi KKM (FB Live). 

Kempen ini disasarkan untuk mencapai seramai 22 juta rakyat Malaysia dengan mesej-mesej kempen berkaitan amalan kesejahteraan mental Setakat ini kempen ini telah mencapai hampir 9 juta rakyat Malaysia melalui kempen media ini. 

Kempen ini dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti media elektronik (tv, radio, akhbar online), media sosial, social influencer, iklan online, iklan in-app, iklan komuter wrap dan LED panel board di stesen-stesen Komuter/LRT. 

Kebolehcapaian masyarakat kepada sumber-sumber bantuan yang sah dan selamat turut menjadi fokus kempen ini. 

Terdapat beberapa talian sokongan psikososial termasuk talian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan profesional. 

Individu terkesan boleh juga merujuk secara terus dengan fasiliti yang menyediakan inisiatif sokongan rakan sekerja, klinik kesihatan atau klinik panel, kaunseling sekolah, hospital, talian psikososial untuk mendapatkan penilaian dan sokongan sewajarnya.

Individu boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai talian-talian psikososial dengan mengimbas QR Code tertera di dalam poster di atas. 

Image

Layari Agenda Nasional Malaysia Sihat, http://www.mindasihatkkm.com/, http://www.reachout.my/ dan Portal Rasmi KKM untuk maklumat lanjut. 

Image

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 1:03 PM