Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menafikan pihaknya menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi kekosongan jawatan guru tabika.

KPN dalam kenyataan hari ini berkata, iklan yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu itu dengan poster jawatan sebagai guru di tabika di seluruh negara.

Menurutnya, poster mengelirukan itu tersebar luas dan mencatat hampir 1,000 perkongsian di media sosial.

Katanya, iklan yang tular di Facebook bertajuk semakan dan permohonan secara dalam talian itu turut menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Walaupun Kemas bukan di bawah KPN, gambar dan nama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dijadikan sebagai hiasan poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan terbabit.

KPN dalam kenyataannya berkata, iklan itu mencetuskan tanda tanya apabila meletakkan syarat kelayakan terlalu rendah bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

"Kelayakanya yang diiklankan hanya sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Iklan khas sebenarnya dikeluarkan JPN dan Jabatan Integrasi Nasional (JPNIN) disiarkan pada 11 Oktober lalu bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

"Kelayakan akademik pemohon yang diperlukan sekurang-kurangnya mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai syarat kelayakan utama bagi pengambilan guru tabika Perpaduan JPN dan JPNIN.

"Iklan ini juga memberi peluang kepada pemohon untuk mengisi jawatan sebagai Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan yang disiarkan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang," katanya.

Menurut kenyataan itu, iklan yang disiarkan itu dengan jelas menyatakan syarat diperlukan pemohon dari lepasan diploma dalam bidang berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dari institusi pendidikan tinggi tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 11:09 AM