GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang juruteknik elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM35,000 daripada seorang wanita pada 2016.

Tertuduh, Che Adam Che Hussin, 28, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM35,000 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk menarik balik laporan polis berkaitan kes samun terhadap wanita itu serta tidak meneruskan pertuduhan berkaitan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Taman Ukay Bistari, Hulu Klang kira-kira 12 tengah hari pada 5 September 2016.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Zaki Mohd Salleh menawarkan jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport dan lapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan.

Che Adam yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana dia hanya memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga 3,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sekiranya ada dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 1:04 PM