ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri di seluruh negara akan ditutup bermula tengah malam ini.

Bagaimanapun SJR di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), SJR Op Benteng serta SJR cegah jenayah dan keselamatan akan dikekalkan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penutupan SJR sempadan negeri adalah susulan pengumuman kerajaan aktiviti rentas negeri bagi golongan lengkap divaksinasi dibenarkan bermula esok.

"Meskipun tiada sekatan jalan raya di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan Pasukan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhinya.

"Pemeriksaan ini akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, masyarakat dinasihat untuk tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan yang diberikan dan sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 kembali meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 6:00 PM