LIMA kenderaan yang diterima PDRM bagi pembuktian konsep dan belum dimuktamadkan pembeliannya.
LIMA kenderaan yang diterima PDRM bagi pembuktian konsep dan belum dimuktamadkan pembeliannya.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lima kenderaan pengiring polis yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam adalah bagi pembuktian konsep (POC) dan belum dimuktamadkan pembeliannya.

Kenderaan BMW M3, BMW X3 dan Volkswagen Tiguan itu akan digunakan selama dua minggu bermula semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keputusan untuk mengguna pakai kenderaan itu belum dimuktamadkan.

"Kereta berkenaan digunakan sebagai percubaan selama dua minggu tanpa sebarang perjanjian.

"Tujuannya adalah untuk mendapat maklum balas sama ada kenderaan ini sesuai digunakan atau tidak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular gambar lima kenderaan mewah BMW dan Volkswagen yang didakwa akan digunakan oleh PDRM untuk mengiring orang kenamaan (VIP).

Sementara itu, Pengarah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, dalam tempoh dua minggu ini kenderaan berkenaan akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan cawangan pengiring.

"Ingin dijelaskan di sini, bahawa penggunaan kenderaan ini adalah sebagai uji cuba atau POC selama tempoh dua minggu yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kepada PDRM dan tiada sebarang urusan pembelian dilakukan.

"Kita akan uji kenderaan ini sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan oleh PDRM kelak dan bukannya dalam masa terdekat," katanya.

Hazani berkata, PDRM juga sedia maklum tentang kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan ketika pandemik Covid-19 ini namun tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan hanyalah untuk uji cuba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 4:27 PM