FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Samadi Ahmad


Cyberjaya: Kata dua diberikan apabila semua peniaga di daerah Sepang diwajibkan menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19 sebelum dibenarkan berniaga.

Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussin, berkata, langkah itu bagi memastikan peniaga melaksanakan semua syarat ditetapkan bagi mengawal penularan pandemik berkenaan.

Menurutnya, peniaga yang masih belum membuat ujian saringan di bawah program itu wajib melaksanakannya di klinik swasta dan menunjukkan sijil keputusan kepada petugas MPSepang ketika operasi pemantauan diadakan.

Katanya, pemantauan dan kawalan ke atas semua Pasar Awam milik MPSepang masih dilaksanakan dan program saringan Covid-19 juga masih dilakukan secara berkala dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang.

"Pengunjung yang tidak mempunyai dos lengkap tidak dibenarkan untuk memasuki pasar malam termasuk pengunjung di bawah umur 17 tahun yang hadir tanpa penjaga lengkap dua dos suntikan vaksin,"katanya tadi.

Abd Hamid berkata, sepanjang pembukaan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebanyak 15 pasar harian dan pasar malam di bawah kendalian MPSepang dibenarkan beroperasi semula.

Menurutnya, sebanyak 38 pemantauan prosedur operasi standard (SOP) diadakan sepanjang kebenaran ini bertujuan memastikan semua pihak mematuhi peraturan.

"Penjaja yang tidak mengambil vaksin lengkap, tidak menyediakan imbasan suhu dan pendaftaran kod QR selain tidak mengambil suntikan typhoid dilarang menjalankan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:29 PM