ADLY Zahari. FOTO arkib NSTP
ADLY Zahari. FOTO arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Pakatan Harapan (PH) Melaka menegaskan tiada rancangan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilakukan pihaknya pada waktu ini.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, fokus pihaknya kini adalah membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 ke mahkamah.

"PH Melaka setakat ini tiada rancangan bertemu YDP Agong.

"Fokus kini untuk membawa pembubaran DUN ke mahkamah bagi mempertikaikan proses dan fakta pembubaran termasuk menghormati Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri," katanya menerusi Facebook pagi ini.

Media semalam melaporkan, semua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong PH dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan, Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dilaporkan berkata, mereka akan ke Istana Negara bagi menyelesaikan krisis pembubaran DUN Melaka.

Terdahulu, Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong turut menyangkal kenyataan dikeluarkan Norhizam mengenai kunjungan itu.

Beliau turut meminta Norhizam tidak mencemarkan nama baik PH selain perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan yang dibuat tanpa memaklumkan kepada parti itu.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu turut mengingatkan agar Norhizam tidak bermimpi yang DAP akan menerimanya sebagai rakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 10:34 AM