WARGA asing yang ditahan bersama 4,223 karton rokok seludup. FOTO ihsan polis
WARGA asing yang ditahan bersama 4,223 karton rokok seludup. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Polis menahan lelaki warga asing bersama 4,223 karton rokok seludup dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batilion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Superintendan Rizal Mohamed berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan jam 2.45 petang.

"Dalam serbuan itu, kami melakukan pemeriksaan di sebuah premis serta kenderaan yang membawa kepada penemuan 4,223 karton rokok seludup.

"Rokok seludup yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM168,204, manakala cukai pula berjumlah RM552,740.

"Selain itu, kami turut merampas sebuah kenderaan dan telefon bimbit menjadikan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM752,144," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kastam 1967.

"Dengan penahanan suspek terbabit, kami berjaya menyekat satu aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Seri Kembangan.

"Kami menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 11:03 AM