Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sarat dengan rokok seludup dipandu seorang lelaki merempuh sekatan jalan Raya (SJR) di Jalan Besar Seri Kembangan di sini, semalam

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek berusia 28 tahun yang memandu Toyota Fortuner itu nekad merempuh kon di SJR berkenaan dalam usahanya untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, anggota bertugas di SJR mengejar sejauh dua kilometer sebelum berjaya memintas kenderaan suspek.

"Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas kenderaan dipandunya menemukan 13 guni mengandungi 10,594 kotak rokok seludup dianggarkan bernilai RM100,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

RAZALI ABU SAMAH
RAZALI ABU SAMAH

Razali berkata, siasatan awal mendapati suspek memperolehi bekalan rokok seludup itu dari Morib, Banting dan dalam perjalanan menghantar bekalan berkenaan ke Kuala Lumpur.

"Ketika disoal siasat, lelaki itu memaklumkan dia tidak mengetahui lokasi tepat untuk menghantar bekalan berkenaan dan sedang menunggu arahan lanjut daripada seseorang.

"Namun sepanjang penahanannya, tiada individu yang menghubungi suspek seperti yang dinyatakan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:24 PM