Dataran Lang di pekan Kuah dijangka meriah dengan kehadiran pelancong dua minggu lagi. FOTO HAMZAH OSMAN
Dataran Lang di pekan Kuah dijangka meriah dengan kehadiran pelancong dua minggu lagi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mencadangkan supaya sektor pelancongan di Langkawi dibuka semula dua minggu lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, tarikh itu dipilih susulan perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan.

"LADA mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Majlis Keselamatan Negera (MKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, wakil Pejabat Daerah Langkawi dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi.

"Setelah mengambil kira pandangan JKN Kedah berhubung status risiko kes semasa Covid-19, disyorkan kepada MOTAC dan MKN agar pembukaan gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, JKN Kedah berpandangan kes harian di Langkawi masih tinggi dan boleh menular kepada pelancong yang datang kerana penularan Covid-19 ketika ini adalah secara sporadik.

"Menurut JKN Kedah, langkah proaktif segera sedang diambil bagi mengurangkan kes harian di Langkawi, termasuk meningkatkan ujian melalui air liur.

"Pada masa sama pihak terbabit turut memastikan penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) secara optimum dan penggunaan vaksin Cansino," katanya.

Beliau berkata, JKN Kedah turut berpandangan pembukaan awal pelancongan kepada penduduk Langkawi dan Kedah boleh merencatkan usaha penurunkan bilangan kes harian.

"Pemilihan tarikh itu juga memberi masa yang lebih baik kepada pemain industri untuk bersedia bagi menerima kedatangan pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 12:33 PM