Fahmi Reza
Fahmi Reza
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Aktivis Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan semalam berhubung poster lukisan karikatur menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Fahmi dibebaskan selepas keterangannya dirakam bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Aktivis itu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

"Keterangannya juga sudah diambil bagi membantu siasatan lukisan karikatur itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 24 April lalu, Fahmi direman sehari bagi membantu siasatan kenyataan berbaur hinaan terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.

Aktivis itu juga pernah disiasat berhubung lukisan karikatur menyerupai beberapa pemimpin negara termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:57 PM