RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
RAKAMAN video yang tular. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Polis memanggil lima saksi kejadian pukul seorang kanak-kanak autisme oleh wanita warga Singapura yang juga pengurus sebuah pusat intervensi kanak-kanak di daerah ini, untuk dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan dua saksi dan memanggil tiga lagi saksi untuk dirakam keterangan berhubung kejadian itu.

"Sehingga kini, dua saksi sudah dirakam keterangan dan hari ini tiga saksi dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Kes ini masih lagi dalam siasatan dan (kertas siasatan) akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis menahan wanita warga Singapura yang juga pengurus di sebuah pusat intervensi kanak-kanak selepas dipercayai memukul kanak-kanak autisme.

Mohamad Farouk dilaporkan berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditahan kelmarin selepas pihak polis menerima laporan yang dibuat bapa mangsa, Jumaat lalu.

Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.

Hantaran yang dibuat itu kemudian tular dan netizen meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.

Berita berkaitan

Wanita disyaki pukul kanak-kanak austisme ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 1:27 PM