Siti Rohana Idris

Tumpat: Mengantuk tapi semangat untuk belajar. Begitu reaksi dipamerkan 15 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di sini, hari ini.

Reaksi spontan itu dilihat di tiga kelas sekolah terbabit yang terdiri daripada murid berkeperluan khas iaitu majoritinya kategori lembam sempena sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang bermula hari ini.

Bagi Muhammad Aizat Zaidi, 12, dari Pulau Suri, kehadirannya di sekolah hari ini dalam keadaan semangat yang berkobar-kobar selepas enam bulan hanya terkurung di rumah.

"Pagi tadi saya bangun 6.30 pagi dan segera bersiap kerana tidak sabar untuk tiba di sekolah berjumpa rakan dan guru.

"Rasa agak 'pelik' kerana sudah lama tidak jejakkan kaki ke sekolah dan ada juga rasa mengantuk kerana kerap tidur lewat selama ini tapi rasa itu dapat ditahan malah seronok dapat kembali belajar dalam kelas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

ANTARA Murid yang hadir ke sekolah yang terletak di delta Sungai Kelantan dengan pengangkutan utama adalah perahu atau bot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA Murid yang hadir ke sekolah yang terletak di delta Sungai Kelantan dengan pengangkutan utama adalah perahu atau bot. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bagi Nurul Hima Mahmood, 30, dia dapat melihat keterujaan anaknya, Che Mohd Nuriwaqi Danial Che Mohd Zaki, 10 untuk memulakan sesi persekolahan hari ini apabila tidak perlu dikejutkan pagi tadi.

Dia berkata, sejak tiga hari lalu dia sudah mengingatkan anak kedua dari tiga beradik itu mengenai sesi persekolahan yang akan dibuka hari ini kerana bimbang Che Mohd Nuriwaqi terleka kerana sudah lama tidak bersekolah.

"Tapi pagi ini dia bangkit tidur tanpa dikejutkan dan segera bersiap sebelum saya menghantarnya ke sekolah sejauh dua kilometer dengan menunggang motosikal," katanya.

Tinjauan yang dibuat di SK Pulau Beluru hari ini mendapati daripada 30 murid PPKI, hanya separuh sahaja yang hadir dan bilangan itu dilihat agak baik memandangkan lokasi sekolah itu yang terletak di delta Sungai Kelantan dengan pengangkutan utama adalah perahu atau bot.

Seawal 7 pagi lagi kelihatan beberapa murid tiba di jeti SK Pulau Beluru dengan menaiki bot penambang atau bot galah yang dikendalikan ibu bapa masing-masing.

MURID memulakan sesi persekolahan secara bersemuka. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MURID memulakan sesi persekolahan secara bersemuka. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Guru Besarnya, Mohd Azman Hussain berkata, sejak seminggu lalu, persiapan untuk menyambut kedatangan murid PPKI sudah dibuat dengan membersihkan kelas serta persekitaran.

"Kami juga menyerahkan modul pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada ibu bapa sama ada mereka datang mengambil di pondok pengawal atau pihak sekolah menghantar ke rumah.

"Dari segi pematuhan SOP pula masih seperti biasa dan jika ada pembaharuan sekalipun kami menetapkan pemakaian pelitup muka ketika sesi PdP berbanding sebelum ini yang bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 12:07 PM