Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din (dua, kanan) melihat barangan rampasan ketika sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan 'Fly By Night' di Balai Polis Jinjang hari ini. FOTO BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din (dua, kanan) melihat barangan rampasan ketika sidang media mengenai tangkapan sindiket penipuan pembelian barangan tukar ganti kenderaan 'Fly By Night' di Balai Polis Jinjang hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hantar slip pembayaran perbankan berjadual atau 'Inter Bank Giro' (IBG) bagi menipu pembekal dan peniaga barangan alat ganti kenderaan.

Itu helah digunakan sindiket penipuan pembelian alat tukar ganti kenderaan yang aktif sejak Mac lalu.

Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar selepas pihak polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dengan aktiviti berkenaan susulan serbuan di Kuantan, Pahang, jam 10.15 malam, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan polis dibuat seorang lelaki memaklumkan ditipu dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan.

"Susulan laporan itu, kami menahan lima lelaki berusia antara 23 hingga 60 tahun.

"Hasil soal siasat dilakukan, kami menemui beberapa rumah yang dijadikan stor simpanan alat tukar ganti kenderaan di sekitar Pahang.

"Kami merampas pelbagai alat tukar ganti kenderaan dianggarkan bernilai RM936,783," katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo; Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Willie Richard serta Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan dilakukan mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak Mac lalu

di sekitar Lembah Klang dam Johor.

"Sindiket ini menyasarkan pembekal serta peniaga barangan alat ganti kenderaan dengan menggunakan modus operandi menyerahkan slip pembayaran perbankan berjadual kepada mangsa. Mereka menipu kononnya bayaran sudah dilakukan.

"Ada antara mereka (sindiket) berperanan sebagai ejen pembeli barang alat ganti kenderaan, pemilik syarikat alat tukar ganti kenderaan serta pemandu.

"Sindiket ini menggunakan nama syarikat tertentu untuk mengaburi mangsa yang diperdaya dengan slip jadual pembayaran (IBG) palsu bagi meyakinkan mereka sebelum penghantaran dilakukan ke alamat diberikan sindiket," katanya.

Bagaimanapun sindiket didakwa 'cabut lari' dan meninggalkan premis dalam keadaan kosong sebalik mangsa menyedari ditipu.

Beliau berkata, pihaknya yakin menyelesaikan lapan kes di Johor dan satu kes di Sentul yang dipercayai didalangi kumpulan itu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya menerima 23 kes dengan kerugian berjumlah RM566,397 membabitkan modus operandi penipuan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau dikenali sebagai 'Fly by Night' pada tahun lalu.

"Bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam, kami menerima 43 kes membabitkan 'Fly by Night' dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM3.25 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:08 PM