Lima pacuan empat roda yang disita Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) selepas 11 penumpangnya ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi tujuan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di Hutan Simpan Amanjaya, di Daerah Hutan Hulu Perak, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan JPNPk
Lima pacuan empat roda yang disita Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) selepas 11 penumpangnya ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi tujuan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di Hutan Simpan Amanjaya, di Daerah Hutan Hulu Perak, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan JPNPk
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Sebelas individu termasuk seorang wanita yang melakukan aktiviti pemanduan lasak pacuan empat roda ditahan selepas disyaki menceroboh Hutan Simpan Amanjaya, Hulu Perak, hari ini.

Penahanan mereka dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak kira-kira 1 pagi hasil maklumat dan pemantauan aktiviti itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, siasatan awal mendapati mereka memasuki Hutan Simpan Amanjaya dan menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi aktiviti perkelahan.

"Kesemua individu terbabit didapati melakukan kesalahan kerana memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) tanpa kebenaran iaitu gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki HSK.

"Mereka ditahan untuk siasatan, manakala lima pacuan empat roda yang digunakan disita dan dibawa ke Stor Rampasan Bandariang," katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Gerik, hari ini dan kesemua 11 individu berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Jabatan Perhutanan Negeri Perak memberi peringatan kepada mana-mana individu dan orang awam bahawa semua aktiviti rekreasi di dalam HSK tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:52 PM