Anggota bomba menyelamatkan seorang anggota tentera yang parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di simpang tiga Rasa Kampung Napi, menghala ke Ampang Pecah, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba menyelamatkan seorang anggota tentera yang parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di simpang tiga Rasa Kampung Napi, menghala ke Ampang Pecah, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang anggota tentera parah manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di simpang tiga Rasa Kampung Napi, menghala ke Ampang Pecah, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.27 pagi.

Beliau berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Mercedes dan Proton Wira.

"Mercedes dipandu lelaki berusia 22 tahun bersama tiga penumpang bertembung dengan Proton Wira yang dipandu anggota tentera.

"Pemandu Proton Wira tersepit di bahagian pemandu manakala dua penumpang Mercedes pula, seorang patah kaki kanan dan seorang lagi cedera ringan.

"Kedua-dua mangsa dibawa oleh orang awam ke Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira dikenali sebagai Rosli Jamal, 40, mengalami kecederaan parah dan dikeluarkan pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital KKB menaiki ambulans.

"Penumpang kereta Mercedes yang parah dikenali sebagai Rosnah Bahar, 69.

"Tiga lagi mangsa, Mohd Azhari Othman, 79, cedera ringan, manakala dua lagi, Muhammad Afiq Mohd Azhari, 22 dan Norashikin Mahadi, 50, masing-masing tidak cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:47 AM