KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 406 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di Kuala Kubu Bharu, 12.15 tengah malam tadi.
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 406 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di Kuala Kubu Bharu, 12.15 tengah malam tadi.
Amrullah Abdul Karim


DUA parah manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 406 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh di Kuala Kubu Bharu, 12.15 tengah malam tadi.

Kemalangan di laluan Lembah Beringin menghala Tanjung Malim itu membabitkan dua treler, lori tiga tan, bas ekspres dan kereta Proton Wira.

Kejadian dipercayai berpunca daripada salah sebuah kenderaan terbabas ketika cuaca hujan lebat lalu mengakibatkan pertembungan beberapa kenderaan berat lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, beliau bersama 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, operasi itu turut dibantu pasukan bomba daripada BBP Tanjung Malim.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, anggota bomba memberi rawatan awal kepada seorang mangsa lelaki yang parah dipercayai pemandu lori tiga tan dan dia dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba sampai.

“Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa cedera yang menaiki Proton Wira diberi rawatan oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke HSB,” katanya.

Beliau berkata, dua orang pemandu treler hanya cedera ringan manakala pemandu bas tidak cedera.

Katanya, bas ekspres terbabit tidak mempunyai penumpang dan operasi itu tamat pada 2 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:41 AM