ORANG ramai berkumpul untuk mendapatkan bekalan daging pada program Mantai Perdana setiap kali Syawal. FOTO Amran Yahya
ORANG ramai berkumpul untuk mendapatkan bekalan daging pada program Mantai Perdana setiap kali Syawal. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


BIARPUN kerajaan negeri belum memutuskan sama ada mantai perdana dibenarkan atau tidak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penternak kini memikirkan jalan terbaik bagi memastikan bekalan daging sampai kepada orang ramai.

Penternak, Muhammad Hanif Ismail, 31, dari Kampung Kuala Jemapoh, Jempol, berkata walaupun perniagaan secara ‘cash on delivery’ (COD) seperti disarankan kerajaan amat sesuai ketika ini, cara itu dilihat tidak sesuai untuk perniagaan daging.

“Kita tidak boleh samakan COD daging dengan makanan. Jika nasi lemak, sudah memadai dengan sukatan nasi tepat, campur dengan sambal dan kemudian tambah telur rebus serta dibungkus dan COD kepada pelanggan.

“Berbeza dengan daging kerana sudah menjadi lumrah, pembeli akan melihat dan memilih sendiri bahagian mana hendak dibeli.

“Apa yang kami bimbangkan, pembeli tidak berpuas hati sekiranya daging dihantar tidak memenuhi kehendak mereka,” katanya ketika ditemui di BF Farm, Kuala Jemapoh.

Sementara itu, Khalid Basiran, 44, dari Jempol berkata, buat masa ini COD adalah satu-satunya jalan penyelesaian bagi memastikan umat Islam dapat merasai suasana Aidilfitri.

“Saya tidak pernah mengikuti mantai perdana, tetapi setiap kali menjelang Aidilfitri, sekurang-kurangnya dua ekor lembu saya akan disembelih untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Namun, jika negara masih lagi dalam tempoh PKP, memang tiada cara lain lagi selain menggunakan perkhidmatan COD.

“Mungkin harga daging dijual mahal sedikit, namun pembeli harus akur kerana penternak perlu membayar kos penghantaran,” katanya.

Bagaimanapun, dalam situasi sekarang kerajaan negeri harus memikirkan jalan terbaik untuk mengatasi masalah penternak seperti membenarkan jualan mantai di tepi jalan dan dalam masa sama orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung PKP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 7:37 PM