MUHAMMAD Fazle menunjukkan nasi lemak di Kafe In3hree miliknya.
MUHAMMAD Fazle menunjukkan nasi lemak di Kafe In3hree miliknya.
Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Biarpun sudah selesa dengan gaji lumayan diperoleh setiap bulan, seorang jurutera pemprosesan nekad mengubah perjalanan hidupnya dengan menjadi penjual nasi lemak sepenuh masa di Shah Alam, Selangor.

Muhammad Fazle Abdul Rani, 35, yang sebelum ini berkhidmat di kilang pemprosesan automotif terkemuka negara selama tujuh tahun juga sanggup bersengkang mata menyiapkan lebih 1,000 bungkus nasi lemak setiap hari untuk diedarkan kepada golongan memerlukan.

Menurut anak kelahiran Trolak, Perak itu, tidak dinafikan gaji lumayan mencecah enam angka yang diterima sebelum ini banyak memberinya keselesaan, namun hatinya masih tidak tenang dan mahu lakukan sesuatu yang lebih besar.

“Setiap hari saya memikirkan apa yang saya boleh lakukan untuk membantu orang lain. Setiap hari juga saya banyak termenung kerana merasakan hidup saya kosong.

“Sehinggalah pada suatu hari saya merasakan sudah tiba masanya saya lakukan sesuatu yang saya suka iaitu menjual nasi lemak dan tidak lagi mengejar wang ringgit semata-mata,” katanya.

Katanya, biarpun mengalami kerugian pada awal perniagaan kerana hanya meletakkan harga RM1 bagi sebungkus nasi lemak, dia tidak berputus asa, malah giat mencari jalan supaya perniagaan kecil-kecilannya mendapat tempat di hati pelanggan.

“Saya tidak mahu menjual nasi lemak pada harga yang mahal memandangkan rata-rata pengguna sekarang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Namun, saya tidak mahu pula pelanggan kecewa dengan kualiti makanan sekiranya terlalu murah. Jadi, saya sedaya upaya mencari alternatif untuk sediakan nasi lemak yang sedap dan murah,” kata pemilik Kafe In3hree itu.

Katanya, ahli keluarga dan rakan terdekat banyak memberinya sokongan untuk meneruskan niat menyumbang kepada golongan memerlukan biarpun hanya dengan nasi lemak.

“Ada rakan yang mencadangkan supaya meletakkan nasi lemak di masjid kerana ada orang miskin yang mencari makanan di masjid. Bagi saya cadangan ini sangat bernas kerana dapat meramaikan ahli masjid pada masa sama.

“Jadi, tanpa membuang masa saya letakkan nasi lemak yang turut disumbangkan pelanggan di masjid dan tidak sampai 10 minit sudah habis,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah merasakan usahanya itu sebagai sia-sia, malah kekosongan hatinya sebelum ini berjaya diisi apabila melihat golongan memerlukan makan nasi lemak yang disediakan.

“Alhamdulillah, kini perniagaan saya semakin maju apabila pelanggan sudah mula mengenali nasi lemak saya dan pada masa sama menyumbang kepada masyarakat memerlukan melalui pembelian nasi lemak,” katanya.

Katanya, dia mahu mewujudkan budaya menyumbang biarpun hanya RM1 dalam kalangan pelanggannya sekali gus memberi peluang kepada orang ramai memperoleh pahala setiap hari.

“Saya yakin setiap pekerjaan yang kita jalankan, pasti ada jalan untuk menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan walaupun hanya RM1. Mungkin nampak murah pada harganya, namun kepada mereka yang memerlukan ia lebih daripada mencukupi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 11:13 AM