WONG Yeng Fart (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban, sambil diiringi oleh pegawai SPRM. FOTO Ihsan SPRM
WONG Yeng Fart (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban, sambil diiringi oleh pegawai SPRM. FOTO Ihsan SPRM
Ahmad Hasbi


Seremban: Pengarah syarikat didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menawarkan rasuah kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Januari tahun lalu.

Tertuduh, Wong Yeng Fart, 49, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh secara rasuah memberi wang tunai RM100,000 kepada dua individu iaitu seorang penolong pegawai penguat kuasa dan seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan yang bertugas di Unit Kawalan Bekalan, Seksyen Penguat Kuasa.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua pemilik Syarikat Viss Motor Parts Sdn Bhd yang melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Februari tahun lalu, di sebuah restoran di Seremban 2, di sini.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili Peguam KF Wong & Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:46 PM