Dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas dalam serbuan di hadapan sebuah kedai dobi di Guar Chempedak. FOTO IHSAN PDRM
Dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas dalam serbuan di hadapan sebuah kedai dobi di Guar Chempedak. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua lelaki disyaki pengedar dadah tidak sempat mengedar bahan terlarang itu apabila ditahan polis dalam serbuan di hadapan sebuah kedai dobi, Jalan Raya, Guar Chempedak, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan jam 10.15 pagi berdasarkan maklumat yang diterima.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap dua lelaki terbabit masing-masing berusia 28 dan 29 tahun menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.66 gram.

"Pada hari sama, kira-kira jam 10.45 pagi, bertindak atas maklumat suspek pergi ke sebuah rumah di Kampung Baru, Lorong Kilang Papan, Guar Chempedak.

"Hasil pemeriksaan dalam bekas besi di atas rak kayu di hadapan rumah terbabit menemui empat bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat lebih 1.6 kilogram (kg)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Taufik berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah RM24,200.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methampetamine dan kedua-dua suspek mempunyai kesalahan lampau.

"Susulan dari tangkapan dan rampasan dadah, JSJN Kedah turut menyita harta saspek iaitu seutas rantai berwarna kekuningan bernilai RM2,550 dan kereta Toyota Vios bernilai RM19,000.

"Nilai keseluruhan sitaan harta RM21,550 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 23 September hingga 29 September untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohd Taufik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kejayaan ini hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya ditumpaskan.

"Pihak polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta pembabitan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 1:12 PM