PEMACING dari Kampung Olak Lempit, Samsuddin Wagiman menjadikan hasil tangkapan sungai sebagai ikan masin. FOTO Samadi Ahmad
PEMACING dari Kampung Olak Lempit, Samsuddin Wagiman menjadikan hasil tangkapan sungai sebagai ikan masin. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Kebiasaannya produk ikan masin sinonim dengan spesis ikan laut namun seorang peniaga gerai mencipta kelainan apabila mengusahakan produk ikan masin menggunakan ikan Patin sungai.

Usahakan Samsuddin Wagiman, 58, mulanya dianggap pelik berikutan ikan Patin kebiasaannya disajikan sebagai hidangan masakan gulai tempoyak.

Dia yang menetap di Kampung Olak Lempit di sini, mendakwa idea itu tercetus selepas perniagaannya terkesan teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3 sejak Jun lalu.

Menurutnya, dia banyak menghabiskan masa memancing Patin di Sungai Langat berhampiran kediamannya sepanjang tempoh PKP berikutan gerai makanannya tidak dapat beroperasi.

"Saya tidak menyangka hobi memancing itu membolehkan saya memperolehi berpuluh ekor ikan Patin setiap hari.

"Dari situ muncul idea untuk memproses ikan Patin itu menjadi ikan masin yang boleh disimpan untuk jangka masa lama," katanya ketika ditemui tadi.

Menurutnya, ikan Patin itu dicuci bersih sebelum direndam dalam garam dan dijemur sehingga menjadi ikan masin.

"Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan walaupun baru beberapa bulan saya memperkenalkan produk ini kepada orang kampung. Malah kualitinya setanding ikan masin Talang atau ikan Kurau," katanya.

Samsuddin berkata, dia amat menitik beratkan kebersihan dalam penghasilan ikan masin bermula dengan proses menyiang, membuang perut dan melumurkan garam pada setiap ikan.

"Bagi menjadikan ikan ini lembut, ia perlu disiram dengan cuka dan disimpan semalaman supaya garam dapat meresap ke semua bahagian ikan itu sebelum dijemur.

Katanya, ikan Patin perlu dijemur antara lima ke enam hari bagi membuang lemak sebelum dipek untuk dipasarkan.

"Selain memasarkan ikan masin Patin ini di gerai saya, ia turut mendapat pesanan pembeli dari kawasan sekitar Dengkil, Banting dan Putra Perdana".

"Ikan masin Patin ini sedap dimasak lemak cili api, sambal dan dicampur dengan sayuran seperti kailan atau kangkong goreng," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:48 PM