Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh hanya membenarkan 20 peratus anggota yang mempunyai keperluan untuk bercuti.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, tetapi malah sekiranya bencana banjir besar melanda, cuti akan dibekukan.

Menurutnya, langkah berkenaan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan ketika menghadapi bencana alam itu.

"Monsun timur laut hampir tiba khususnya membabitkan negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor yang memang biasanya terdedah kepada banjir.

"JBPM hanya membenarkan 20 peratus sahaja anggota bomba yang mempunyai keperluan bercuti dan diharapkan anggota menggunakan pengalaman sebelum ini untuk meningkatkan kecekapan berdepan dengan banjir, katanya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib memeriksa perbarisan ketika lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib memeriksa perbarisan ketika lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor hari ini. FOTO BERNAMA

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM Johor, di Kangkar Tebrau di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Sementara itu, Yahaya berkata, JBPM Johor menerima 12,986 panggilan kecemasan dalam tempoh bermula Januari hingga Ogos tahun ini, peningkatan berbanding jumlah panggilan 11,801 yang diterima pihaknya dalam tempoh sama tahun lalu.

"Daripada jumlah terbabit, 3,623 adalah panggilan kebakaran, 6,516 adalah panggilan penyelamatan dan 2,840 adalah panggilan khas seperti khidmat kemanusiaan.

"Hanya tujuh panggilan palsu daripada keseluruhan 12,986 panggilan yang diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 5:06 PM