KESAN runtuhan yang dikesan berlaku di Gunung Jerai. FOTO Arkib NSTP
KESAN runtuhan yang dikesan berlaku di Gunung Jerai. FOTO Arkib NSTP
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menganggap kawasan sekitar Gunung Jerai masih berisiko dilanda bencana, terutama fenomena kepala air sekiranya berlaku limpahan akibat cuaca hujan lebat.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, hujan lebat dan limpahan air boleh mengakibatkan struktur tanah serta permukaan bumi di kawasan itu menjadi tidak stabil.

Katanya, berikutan itu JBPM merasakan perlu ada suatu sistem amaran awal bagi membolehkan penduduk sekitar lebih berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita tidak minta bencana berlaku kali kedua, tetapi JBPM berpandangan perlu ada sistem amaran di Gunung Jerai dengan sistem itu mampu mengesan gegaran dan kemudian memberi amaran kepada penduduk sekitar.

"Komuniti setempat juga perlu tahu apa perlu dilakukan selepas menerima amaran kerana kita tidak mahu selepas ada sistem, penduduk pula tidak tahu apa perlu dibuat," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga mangsa bencana Gunung Jerai di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib melawat keluarga mangsa bencana kepala air dan banjir lumpur, Abdullah Morad, 58, di Jalan Putra di sini.

Hadir sama Pengarah JBPM Kedah, Sayani Saidon.

engulas lanjut Mohammad Hamdan berkata, pihaknya juga sedia menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) di kawasan Gunung Jerai dalam tempoh terdekat ini.

"Mocsar ini mungkin boleh ditubuhkan membabitkan malim gunung di Gunung Jerai kerana mereka mempunyai kepakaran berkaitan keadaan muka bumi kawasan berkenaan.

"Mereka boleh bertindak secepat mungkin jika berlaku sebarang kecemasan, tanpa perlu menunggu kehadiran bomba atau pasukan penyelamat lain," katanya.

Sebelum ini, pasukan Mocsar sudah diwujudkan di Gunung Kinabalu, Sabah, selain pasukan sama turut ada di Kuala Tahan, Pahang dan Gunung Trong, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:24 PM