Muhammad Amar Mohd Zamani,11, menunjukkan gambar ibu bapanya kepada dua orang adiknya Nur Alia,8, dan Muhammad Amsyar,4, di rumah mereka di Kampung Belantik di sini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Muhammad Amar Mohd Zamani,11, menunjukkan gambar ibu bapanya kepada dua orang adiknya Nur Alia,8, dan Muhammad Amsyar,4, di rumah mereka di Kampung Belantik di sini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sik: "Saya akan jaga adik dengan baik, mak selalu pesan agar kami tunaikan solat dan berdikari melakukan kerja di rumah," kata Muhammad Amar Mohd Zamani, 11.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia reda dengan pemergian ibunya, Siti Fatimah Md Noor, 30, yang meninggal dunia akibat kemalangan, semalam.

"Setiap kali mak mahu keluar rumah, dia akan pesan supaya saya jaga adik. Apabila mak ada di rumah, saya akan membantunya mengemas rumah, membuang sampah dan melipat baju sendiri.

"Selain itu, saya dan adik, Nur Alia, 8, akan bergilir menjaga dua lagi adik kami, Muhammad Amsyar, 4, dan Nur Afia Inara, 8 bulan, sekiranya mak sedang masak.

"Kami sudah tahu tugas masing-masing dan melakukannya setiap hari," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Belantik, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Siti Fatimah maut selepas kereta dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabas di Jalan Jeniang-Sik-Pedu di Kampung Surau, di sini, pada jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, Siti Fatimah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman manakala suaminya, Mohd Zamani Md Saad, 35, ibunya, Rokayah Che Oon, 60, dan Nur Afia Inara tercampak keluar dari kenderaan.

Sementara itu, adik Mohd Zamani, Nurul Suhadah Md Saad, 33, berkata, abangnya kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim berikutan beberapa tulang rusuknya patah selepas tercampak keluar dari kereta Proton Waja yang dipandunya.

Katanya, buat sementara waktu, dia akan memikul amanah menjaga anak saudaranya yang masih kecil.

"Nur Afia Inara dan neneknya masih dirawat di Hospital Sik. Saya difahamkan keadaan mereka stabil.

"Saya tinggal di Pulau Pinang dan balik ke sini setelah dihubungi ahli keluarga.

"Setakat ini abang meminta saya menjaga anaknya, cuma saya bimbang keadaan Nur Afia yang asyik menangis kerana dia sebelum ini hanya minum susu ibu dan tidak mahu dengan orang lain selain ibunya sendiri," katanya.

Nurul Suhadah berkata, dia kagum dengan didikan arwah kakak iparnya terhadap anak dengan sentiasa mengajar mereka berdisiplin dan berdikari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:12 PM