GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sebanyak 35 kluster baharu dilaporkan di 10 negeri, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kluster tempat kerja, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster pendidikan lain serta institusi pendidikan swasta.

Beliau berkata, kebanyakan kluster tempat kerja dilaporkan di Selangor manakala selebihnya di Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kluster yang terbabit dikenali Industri Jalan Nuri yang melaporkan 79 kes positif Covid-19 setakat ini; Tapak Bina Persiaran Elmina (67); Industri Dua Jalan Anggerik Mokara 47 (50); Industri Dua Jalan Bandar Lama (30); Tapak Bina Persiaran Laman View (20); Tapak Bina Jalan Elegan (12); Pasar Matu (29); Tapak Bina Jalan Tasek Mutiara Tujuh (123); Tapak Bina Jalan Kubang Menerong (81); Jalan Mayang Pasir Tiga (46); Zon Industri Bebas Tiga (21).

"Selain itu, Tapak Bina Jalan Tengku Azizah (56); Industri Jalan Gangsa Kulai (18); Industri Jalan Johor Ayer Hitam (15); Dah Tapak Bina Patani (54); Dah Empat Industri Sungai Petani (51); Industri Persiaran Pengkalan 32 (35); Semambu Empat (29); Ladang Jalan Bahau-Rompin (75) dan Jalan PBR 12 (25)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai kluster komuniti, Dr Noor Hisham berkata, lapan daripada keseluruhan kluster komuniti yang dikenal pasti adalah di Kelantan manakala masing-masing satu di Johor, Pahang dan Sarawak.

"Di Kelantan membabitkan kluster Jalan Kubang Golok-Merabang yang melaporkan 20 kes positif Covid-19, manakala Kampung Gong Manak (15); Jalan Kubang Kacang (14); Kampung Kedap (14); Kampung Kuala Besar (9); Lorong Pasir Lada (9); Lorong Madrasah (9) dan Lorong Penggawa Yahya (5).

"Di Johor pula dikenali Kluster Jalan Sutera Bakar Batu dengan 116 kes manakala Sungai Tekam Jerantut di Pahang sebanyak 27 kes dan sebanyak 38 kes bagi Kluster Lemujan di Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua kluster kumpulan berisiko tinggi dikenal pasti di Perak iaitu Jalan Chemor Estate yang melaporkan 75 kes dan Kampung Ayer Papan (13).

Menurutnya, satu kluster pendidikan lain iaitu Jalan SP 5/4 di Selangor dengan 17 kes setakat ini, sementara kluster institusi pendidikan swasta dikenali Jalan Scientex 20 di Johor merekodkan 11 kes.

Katanya, pertambahan semua kluster baharu itu menjadikan keseluruhan 4,995 kluster di negara ini dengan 1,459 kluster aktif dan 3,536 kluster ditamatkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:50 PM