GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini dibuka secara terus atau 'walk in' dengan keseluruhan 3,200 dos sehari sehingga 24 September ini.

Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, inisiatif itu bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk, sekali gus mencapai sasaran 100 peratus penduduk daerah ini sekurang-kurangnya lengkap dos pertama bulan ini.

"Inisiatif vaksinasi 'walk in' ini bagi memberi ruang kepada penduduk yang masih belum mendapat janji temu dan belum mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

"Ia termasuk penduduk yang tercicir untuk mendapatkan dos kedua atas sebab tertentu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua PPV yang beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang itu meliputi PPV Taman Nusantara dengan kapasiti 300 dos sehari, PPV Iskandar Malaysia Studio (500 dos sehari), selain PPV Midvalley Southkey (1,000 dos sehari) dan PPV Taman Mawar (400 dos sehari).

Katanya, bagaimanapun PPV Dewan Muafakat Johor Taman Adda pula dibuka bermula 23 hingga 24 September ini dengan kapasiti 1,000 dos sehari.

"Bagi PPV Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, di sini, yang dikhaskan kepada golongan OKU dan warga emas itu akan dibuka mulai hari ini sehingga 30 September ini dengan kapasiti 300 dos sehari,"katanya.

Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam, Johor mencatatkan 92.1 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos, manakala 69.5 peratus populasi dewasa yang sudah lengkap vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 7:54 PM