ZUL Helmi terpilih sebagai pemenang CSR 30 Hari 30 Frontliners di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong.
ZUL Helmi terpilih sebagai pemenang CSR 30 Hari 30 Frontliners di Balai Bomba dan Penyelamat Puchong.

Kuala Lumpur: "Memakai sut pelindung peribadi (PPE) selama lebih 12 jam di bawah terik panas mentari adalah pengalaman yang saya tidak boleh lupakan."

Demikian kata Pegawai Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Zul Helmi Mohd Aini yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pandemik Covid-19.

Beliau yang sudah berkhidmat selama sembilan tahun menjelaskan bahawa kepayahan bergerak dan melaksanakan tugas dalam sut PPE sememangnya cabaran baharu.

"Tidak cukup dengan itu, bayangkan kami memakai sut penuh PPE pada jam 12 tengah hari di bawah sinar matahari untuk melakukan pengurusan pesakit Covid-19.

"Umpama mandi peluh dalam sut PPE berkenaan. Habis baju semua basah dan boleh diperah setiap kali tamat tugasan setiap hari," katanya yang terpilih memenangi 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, FlyFM dan Harian Metro di Balai Bomba dan Penyelamat, Puchong, di sini.

Zul Helmi juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh setiap peraturan ditetapkan dan tidak sesekali mengabaikan ahli keluarga atau rakan yang menjadi pesakit Covid-19 ini.

"Selain itu, saya amat terkesan setiap kali melihat pesakit baharu Covid-19 dalam kalangan warga emas, saya akan teringat ibu di kampung.

"Setiap kali itu saya merasa sebak di hati kerana saya beranggapan bahawa setiap warga emas itu adalah ibu saya," katanya.

Menurutnya, pengalaman itu pastinya sesuatu yang sangat bernilai serta tidak akan dilupakan sepanjang perkhidmatannya walaupun terpaksa melalui cabarannya getir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:46 PM