Operasi SAR Mohamad Azrin bermula sejurus laporan kehilangannya diterima, Ahad lalu. FOTO FB Tentera Darat Malaysia.
Operasi SAR Mohamad Azrin bermula sejurus laporan kehilangannya diterima, Ahad lalu. FOTO FB Tentera Darat Malaysia.
Roselan Ab Malek


Bera: Anggota tentera yang hilang ketika menjalani latihan Eksesais Para Predator, Ahad lalu ditemui lemas di Sungai Pahang, 8.15 pagi, hari ini.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan mengesahkan penemuan mayat Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, daripada pasukan Kompeni Pandura (Para).

"Jasad beliau ditemui oleh penduduk kampung di kawasan Kampung Serengkam, Maran kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian (tempat hilang).

"TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung serta mana-mana agensi yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini," kata kenyataan itu.

Mohamad Azrin hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dan SAR digerakkan bermula 4.50 petang, 29 Ogos lalu.

Dalam pada itu, TDM menzahirkan ucapan takziah kepada isteri Allahyarham, Nor Aqila Syafiqa Safuan dan ahli keluarga atas kehilangan itu serta akan menghulurkan bantuan sewajarnya demi kebajikan mereka.

Berita berkaitan

Askar hilang ketika latihan di Sungai Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 12:19 PM