Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa membuka ruangan di akaun Twitternya untuk orang ramai menyuarakan cadangan dan harapan bagi menambah baik kementerian berkenaan.

Katanya, beliau menjangka dalam minggu pertama berada di kementerian, saban hari beliau akan diberikan taklimat oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Saya akan berusaha memahami sepenuhnya perkembangan KKMM, terutama dalam menangani isu berkenaan jurang digital, pelaksanaan 5G, menghubungkan "the under-connected" dan melihat bagaimana kita boleh menyegerakan dan menambahbaiknya," menurut twitnya.

Annuar, 65, sebelum ini pernah menjadi Menteri di Kementerian Belia dan Sukan (1990-1993), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (1993-1999) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dari Mac 2020 hingga 16 Ogos lalu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Annuar bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 12:03 AM