Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung fahaman Perjalanan Mimpi YangTerakhir (PMYT) yang diasaskan seorang wanita.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulop Abdullah berkata, fahaman yang dibawa wanita berkenaan dikhuatiri memesongkan akidah terutama anak-anak muda.

"Masyarakat di negara ini berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bukan mimpi seperti yang didakwa wanita berkenaan.

"Justeru satu siasatan perlu dijalankan dan tindakan yang segera perlu diambil oleh pihak berkuasa," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Abdul Rani menunjukkan laporan polis dilakukannya mewakili 8 NGO. FOTO OWEE AH CHUN.
Abdul Rani menunjukkan laporan polis dilakukannya mewakili 8 NGO. FOTO OWEE AH CHUN.

Susulan penyebaran ajaran PMYT itu, pihaknya mewakili NGO yang lain antaranya Ikatan Rakyat Insan Muslimin Malaysia (IRIMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dan Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC) membuat laporan polis.

Katanya, laporan dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) dan Sultan Selangor berhubung isu berkenaan.

"Pihak berkuasa terutama jabatan agama di setiap negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan PDRM perlu bertindak segera bagi memastikan fahaman ini tidak lagi disebarkan.

"Ramai anak-anak muda terpengaruh disebabkan itu kami terpanggil dan meminta siasatan dijalankan," katanya.

Abdul Rani (tengah) bersama wakil NGO keluar dari Balai Polis Daerah Dang Wangi selepas membuat laporan polis. FOTO OWEE AH CHUN.
Abdul Rani (tengah) bersama wakil NGO keluar dari Balai Polis Daerah Dang Wangi selepas membuat laporan polis. FOTO OWEE AH CHUN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 3:16 PM