GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kuala Krai: Seramai 34 penghuni sebuah madrasah di Kampung Sungai Kenerong, Dabong, di sini, enggan menjalani ujian calitan.

Ujian calitan yang mahu dilakukan Pejabat Kesihatan daerah disebabkan ada kematian seorang penghuni di situ beberapa hari lalu bagaimanapun dikatakan tidak dibenarkan pemilik madrasah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, tiada laporan dibuat berhubung kes itu namun pihaknya ada menerima aduan meminta bantuan polis menyelesaikan masalah berkenaan.

"Saya difahamkan ada 34 penghuni di madrasah itu dan mereka diminta untuk menjalani ujian calitan berikutan terdapat kematian seorang penghuni dipercayai akibat Covid-19.

"Setakat hari ini memang tiada gejala lagi dalam kalangan mereka tapi masih perlu dijalankan ujian calitan bagaimanapun mereka enggan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti punca keengganan mereka menjalani ujian calitan.

Beliau menjangka masalah itu dapat diselesaikan dengan baik kerana pihak berkuasa ada kaedah tertentu bagi menangani kejadian seumpama ini.

"Setakat ini masih terkawal namun jika ada berlaku jangkitan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:06 AM