PASUKAN keselamatan menunjukkan senapang dan bangkai haiwan yang ditemui kawasan hutan simpan berhampiran Kampung Ranggal dalam Op Bersepadu Khazanah. FOTO PGA
PASUKAN keselamatan menunjukkan senapang dan bangkai haiwan yang ditemui kawasan hutan simpan berhampiran Kampung Ranggal dalam Op Bersepadu Khazanah. FOTO PGA
Juwan Riduan

Kota Marudu: Bunyi tembakan membongkar kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan simpan berhampiran Kampung Ranggal, Pitas, di sini, semalam.

Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan rondaan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) dikejutkan dengan bunyi tembakan itu kira-kira jam 8.30 malam.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, pihaknya hanya menemukan satu senjata api buatan sendiri atau bakakuk ditinggalkan di kawasan itu dan pemburu dipercayai sudah melarikan diri.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemukan tiga butir peluru, dua bangkai pelanduk dan sebilah parang.

"Satu daripada tiga butir peluru sudah digunakan manakala dua lagi adalah kelongsong hidup. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,245 termasuk dua ekor pelanduk yang dipercayai ditembak mati dalam aktiviti pemburuan haram berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, barang rampasan sudah diserahkan kepada pihak polis manakala bangkai haiwan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25 (2) (a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:27 PM