GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di negeri ini terus mencatatkan penurunan ke tahap 45 peratus berbanding 77 peratus pada 19 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, situasi itu menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan selepas Negeri Sembilan beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula kelmarin.

"Situasi ini menunjukkan katil di ICU hospital awam di negeri ini mempunyai banyak kekosongan, malahan katil bukan ICU juga dalam keadaan terkawal apabila penggunaannya hanya sekitar 32 peratus setakat ini.

"Secara puratanya ia sudah menunjukkan pengurangan yang banyak berbanding sebelum ini mencecah sehingga 150 peratus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, jika ada keperluan pihaknya akan melihat terlebih dulu untuk membantu di kawasan atau negeri lain yang memerlukan.

"Kita akan lihat dulu dari segi keperluan tenaga dan kemudahan untuk Negeri Sembilan dan jika ada keperluan untuk membantu negeri atau kawasan lain, sudah tentu akan pertimbangkan selepas mengambil kira dari segala aspek," katanya.

Veerapan berkata, perkembangan baik ini adalah hasil pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang terus berjalan lancar dan berkesan.

Menurutnya, setakat ini kadar suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri ini berusia 18 tahun ke atas sudah mencecah seramai 762,161 orang atau 93.6 peratus bagi dos pertama, manakala 76.4 peratus atau 622,081 orang pula yang sudah lengkap dua dos.

"Purata dari segi jumlah vaksinasi berdasarkan populasi ia sudah mencapai 55.1 peratus.

"Manakala pendaftaran vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera sudah mencecah 100 peratus atau 841,845 orang setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 4:56 PM